Kasr El-Ainy, 15 April –Buat julung kalinya, PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) mengadakan pertemuan secara rasmi dengan pihak pentadbiran Fakulti Perubatan, Universiti Kaherah.
Pertemuan yang diketuai oleh Pengerusi PCK, saudara Ahmad Kamil Bin Ahmad Fahmi turut disertai oleh Timbalan Pengerusi, saudari Nur Sabiha Binti Zakaria; Naib Pengerusi 1, saudara Ahmad Faiz Bin Zaib; Naib Pengerusi 2, saudari Amarlina Binti Ahmad; Ketua dan Timbalan Ketua Biro Akademik, saudara Haniz Iqbal Bin Hazaidi dan saudari Anis Zarina Binti Zarini serta Ketua Biro Sukan dan Aktiviti Luar, saudara Mohamad Salehuddin Bin Md. Saad. Turut bersama-sama dalam perjumpaan itu saudari Nurbahiran Binti Mat Zain, penasihat PCK.

Pihak pentadbiran kuliah pula diwakili oleh Naib Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar , Dr. Amina Borhamy Hassan Mohamed El-Fadaly, serta 2 orang Koordinator Pelajar Malaysia, Dr.Heba Moustafa dan Dr.Hala’ Salah.

Tujuan perjumpaan ini adalah untuk memberitahu pihak pentadbiran kuliah penubuhan PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) sebagai cawangan baru PERUBATAN.

Perbincangan dua hala berkaitan hal ehwal akademik dan beberapa perkara lain turut menjadi agenda pertemuan tersebut.
Antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan program ‘attachment’ musim panas yang dikenali sebagai Summer Clinical Approach, masalah kelas tuisyen luar fakulti dan tarikh mula kuliah bagi sesi pengajian 2013/2014. Hal ini kerana, masih terdapat segelintir pelajar yang pulang lewat dari tarikh mula kuliah pada setiap tahun. “Saya sehingga sekarang merasai kesan akibat kelewatan pelajar Malaysia pulang ke Mesir selepas bercuti. Saya terpaksa mengubah jadual dan mengadakan kelas tambahan untuk yang pulang lewat.” Ujar Dr. Hala.

Oleh itu, pihak pentadbiran menasihatkan agar pelajar yang bercuti di Malaysia dapat kembali ke Mesir sebelum 15 September 2013. Mereka juga turut melahirkan ucapan terima kasih kepada PCK yang sanggup membantu pihak pentadbiran menjaga hal ehwal kebajikan pelajar Malaysia.

Pertemuan yang berlangsung selama satu jam setengah itu berakhir pada jam 5.15 petang dan disifatkan berjaya mencapai matlamat yang diinginkan.

301943_453757998032652_1204645615_n

“Bridging The Community”
.:Biro Penerbitan dan Penerangan:.

“At-Taqwa, As-Syifa, Ar-Rahmah”
~Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati~
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2013/2014