Kaherah, 22 Mac – Memandangkan peperiksaan akhir tahun yang bakal tiba tidak lama lagi, pelajar-pelajar tahun 1, Universiti Kaherah dengan kolaborasi Biro Akademik, PERUBATAN Cawangan Kaherah telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Bengkel Teknik Menjawab Soalan dan Motivasi bertempat di Markas PERUBATAN Abou Risy.

Bengkel ini diadakan bertujuan untuk mendedahkan kepada para pelajar tahun 1 mengenai teknik menjawab soalan memandangkan ini merupakan kali pertama mereka akan menduduki peperiksaan akhir tahun. Semua panel yang dijemput terdiri daripada pelajar-pelajar tahun 2, Universiti Kaherah iaitu saudara Muhammad Zofir Wajdi bin Arip, saudara Muhamad Hanafi bin Salehuddin, saudari Rasyidah binti Anuar Musaddad dan saudari Wan Nur Aima Nabila binti Wan Mohd Zuferi.

Selain teknik menjawab soalan, slot motivasi turut diadakan bagi menaikkan semula semangat peserta untuk menduduki peperiksaan akhir tahun. Slot motivasi kali ini menampilkan pelajar tahun 6, Universiti Kaherah, saudara Muhammad Izzuddin bin Muhammad Nadzif dengan pengisian yang cukup mantap dan memberi kesan kepada setiap peserta yang mendengar.

Beliau berkongsi garis panduan adab pelajar dalam menuntut ilmu dalam Kitab Ihya’ Ulumuddin karangan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali. Antaranya, para penuntut perlulah membersihkan jiwa daripada akhlak yang rendah, tidak sombong dan bongkak dengan ilmu dan mengosongkan hati hanya untuk menuntut ilmu dengan meninggalkan hal-hal keduniaan yang lain.

“Alhamdulillah, saya dapat mengetahui dengan lebih terperinci bentuk-bentuk soalan dan cara menjawab yang betul. Dan, saya juga dapat mengetahui cara-cara untuk berhadapan dengan exam praktikal dan oral yang mungkin berbeza dari exam mid-year and yang paling penting saya dapat mengutip sedikit sebanyak semangat dari senior yang berpengalaman ” kata Nur Hidayah Zaharan, pelajar tahun 1 Universiti Kaherah.

Semoga bengkel ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar-pelajar tahun 1 untuk menghadapi peperiksaan akhir tahun tidak lama lagi dan dapat meraih keputusan yang cemerlang.